Pembuka Bicara

Friday, February 26, 2010

2 pelajar perempuan antara ditahan dalam serbuan narkotik

KULIM 25 Feb. - Tiga pelajar sekolah termasuk dua perempuan ditahan dalam serbuan di Taman Rekreasi Tasik Kulim di sini selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah petang kelmarin.

Ketiga-tiga pelajar dari sebuah sekolah menengah di Kulim itu berusia 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Mohd. Salleh berkata, mereka ditahan pada pukul 4 petang oleh sekumpulan polis narkotik selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.

Katanya, ketika ditahan, semua suspek dikesan berada dalam keadaan khayal.

"Ujian lanjut yang dijalankan kemudiannya mendapati dua pelajar perempuan itu positif dadah jenis morfin sementara pelajar lelaki pula menggunakan dadah jenis syabu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran para pegawai dan anggota polis keturunan Cina di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini hari ini.

Menurut Ghuzlan, kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sementara menunggu keputusan pendakwaan kes di mahkamah oleh Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kedah.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, polis di sini berjaya memberkas tujuh lelaki termasuk pengedar dan penagih dadah dalam Ops Tapis yang dijalankan di sekitar Mukim Sedim dan Karangan dekat sini petang semalam.

Katanya, dalam operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kulim, Cif Inspektor A. Rajaram bersama 10 anggota itu, polis turut merampas sejumlah 23 gram dadah dipercayai heroin.

"Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang dipercayai pengedar dadah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tambahnya, sementara enam lagi suspek berusia sekitar 20-an pula ditahan reman di bawah Seksyen 39(A)2, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 3 (1) Akta Rawatan dan Pemulihan Dadah 1983.

Beliau juga menasihati orang ramai terutama ibu bapa supaya mengawasi kegiatan anak-anak mereka bagi mengelak daripada terjebak dalam gejala negatif tersebut.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu, Abu Bakar Md. Ali ketika dihubungi pemberita berkata, pihaknya memandang serius kegiatan menyalahgunakan dadah di kalangan pelajar sekolah.

Katanya, Pejabat Pelajaran Daerah akan mengambil tindakan segera termasuk meningkatkan pemantauan di sekolah-sekolah yang mungkin terdedah dengan risiko gejala negatif itu dalam tempoh terdekat.

"Gejala penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah tidak boleh dibiarkan memandangkan ia boleh merosakkan masa depan generasi muda," tegasnya.

No comments:

Post a Comment